Pages

Refleksi


    Alhamdullilah, terlebih dahulu saya ingin merapatkan tangan ke Ilahi sebagai tanda bersyukur saya kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya dapat juga menyiapkan tugasan Kerja Kursus bagi subjek Generik Kemahiran Belajar (GKB1053) ini.
   Semasa menerima tugasan ini, saya berasa sangat teruja kerana ia merupakan kali pertama saya melaksanakan tugasan sebagai seorang pelajar di Institut Pendidikan Guru. Saya mengambil dan menganggap tugasan ini sebagai satu cabaran untuk saya dan tugasan ini akan membolehkan saya menimba lebih banyak ilmu pengetahuan dan memberikan saya pengalaman yang baru dan yang tidak pernah saya perolehi. Tugasan kemahiran belajar ini mempunyai dua bahagian. Tugasan pertama dilaksanakan secara berkumpulan manakala tugasan kedua ialah tugasan secara individu. Bimbingan, bantuan, tunjuk ajar dan nasihat daripada pensyarah saya iaitu Encik Hamzah bin Dolah yang banyak membantu saya dalam menyiapkan tugasan ini. Beliau banyak memberikan teguran dan membetulkan kesalahan yang saya lakukan. Atas teguran beliau, saya dapat memperbaiki dan membetulkan kesalahan yang telah saya lakukan. Tidak lupa kepada ibu bapa saya yang telah memberikan dorongan kepada saya serta rakan-rakan yang turut berkongsi maklumat dan bersama-sama mengumpulkan maklumat  serta hasil daripada sesi pembelajaran saya  semasa kuliah banyak membantu menyiapkan tugasan ini dan akhirnya saya dapat menyiapkan tugasan ini mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
    Pelbagai inisiatif yang telah saya gunakan semasa melaksanakan tugasan ini untuk mendapatkan maklumat dan sumber rujukan yang tepat dan sahih Terlebih dahulu, saya membaca, meneliti dan memahami tugasan tersebut untuk mengetahui kehendak tugasan tersebut.. Saya telah menggunakan kemudahan yang sedia ada dan teknologi moden pada masa kini iaitu internet untuk mendapatkan maklumat tentang penyesuaian sosial.
     Tugasan kursus yang saya terima ini menggalakkan saya untuk lebih peka dengan pelbagai jenis kemahiran yang boleh saya gunakan untuk meningkatkan kualiti cara pembelajaran saya. Bahagian pertama dalam  tugasan kursus ini, saya telah diberi tugasan untuk membuat carian maklumat mengenai topik yang diberikan kemudian saya perlu mempersembahkan maklumat tersebut menggunakan aplikasi Microsoft Powerpoint. Tugasan ini membolehkan saya mempelajari pelbagai pengetahuan baru tentang kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi contohnya tentang kemahiran perisian hamparan elektronik. Kemahiran perisian hamparan elektronik ini dapat saya praktikkan semasa melakukan pembentangan di kelas. Ini kerana kemahiran ini dapat menjadikan pembentangan saya lebih menarik dan tidak membosankan. Para pendengar juga akan lebih berminat mendengar pembentangan yang saya persembahkan. Saya juga dapat  mempraktikkan kemahiran bekerja iaitu bekerja secara berkumpulan. Dengan ini, saya kini lebih terbuka untuk bekerja dengan orang lain di samping telah memupuk sikap untuk bekerjasama dalam diri saya serta dapat mengeratkan tali persahabatan.
     Pada bahagian kedua tugasan ini iaitu tugasan secara individu, saya diberikan tugasan untuk membuat blog. Blog yang saya hasilkan itu mestilah mengandungi bahan-bahan pembelajaran yang dikongsikan bersama dengan rakan-rakan iaitu topik berkaitan dengan pembentangan saya pada bahagian tugasan pertama. Tugasan ini sedikit rumit bagi saya kerana saya tidak pernah membuat blog sebelum ini. Saya tidak mempunyai pengalaman untuk membuat blog. Namun, pensyarah saya telah memberikan tunjukkan ajar dan panduan untuk membuat blog. Rakan-rakan juga turut membantu dan memberikan tunjuk ajar daripada pengalaman yang mereka ada. Melalui tugasan ini, saya harus teliti dalam memilih, memproses dan menggunakan maklumat bahan-bahan pembelajaran yang akan dikongsikan. Sumber rujukan untuk perkongsian tersebut haruslah merupakan sumber yang diiktiraf kebenarannya. Oleh yang demikian, saya kini lebih mahir untuk mengintrepretasikan maklumat dari pelbagai sumber khususnya daripada sumber internet serta saya juga dapat turut berkongsi maklumat yang saya ada di dalam blog tersebut.
     Saya telah menghadapi beberapa masalah semasa melaksanakan dan menyiapkan tugasan ini. Semasa melaksanakan tugasan ini, saya juga telah menerima beberapa tugasan daripada subjek lain. Tarikh melaksanakan tugasan dan tempoh yang diberikan untuk menyiapkan tugasan hampir sama. Ini menyebabkan saya terpaksa membahagikan masa saya dengan baik dan efisen agar  semua tugasan yang diberikan dapat disiapkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Saya juga terpaksa mengatur masa saya untuk masa kuliah dan masa untuk menyiapkan tugasan. Saya telah mengambil langkah membuat jadual pembahagian masa agar masa saya tersusun dan teratur dan memudahkan saya menyiapkan tugasan serta hasil daripada tugasan saya dilaksanakan dengan baik dan memenuhi kehendak yang diinginkan. Hal ini telah memberikan kesedaran kepada saya bahawa pengurusan masa sangat penting agar tugasan yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik. Sebagai seorang pelajar, kita mestilah bijak mengatur masa terutamanya kepada pelajar Institut Pendidikan Guru kerana mereka merupakan bakal guru yang akan mendidik dan membentuk murid-murid. Hal ini juga menjadikan saya lebih berdisiplin dan menepati masa.
    Selain itu, saya juga menghadapi masalah dalam mencari sumber rujukan dan maklumat daripada internet kerana terdapat sedikit gangguan internet. Oleh itu, saya menggunakan kemudahan internet yang disediakan untuk mencari maklumat. Tugasan ini banyak memberikan saya pengalaman dan pengajaran seta meluaskan lagi ilmu pengetahuan saya tentang aplikasi dan perisian komputer serta penggunaan internet.
   Saya juga mempelajari aplikasi yang terdapat komputer terutamanya Microsoft Powerpoint. Pada masa kini, kebanyakan guru-guru mengadakan sesi pembelajaran dan pengajaran dengan menggunakan aplikasi komputer dan teknologi canggih yang sudah tersedia ada. Ini membuatkan sesi pembelajaran lebih menarik dan para pelajar berminat untuk belajar.Oleh itu, tugasan ini secara tidak lansung memberikan pengalaman kepada saya dan saya dapat mempelajari aplikasi yang terdapat dalam komputer dengan lebih mendalam.
    Akhir sekali, banyak yang telah saya perolehi semasa saya menyiapkan tugasan ini. Ia memberikan banyak pengalaman kepada saya. Saya berasa gembira dan bersyukur akhirnya saya dapat menyiapkan tugasan ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada sesiapa yang terlibat dan membantu saya menyiapkan tugasan ini terutamanya pensyarah, ibu bapa dan rakan-rakan saya. Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment